Sejarah penubuhan Rejimen Renjer Diraja

Lencana Rejimen Renjer DiRaja

Asal usul penubuhan

Rejimen Renjer DiRaja mempunyai asal usulnya dalam pembentukan pasukan Sarawak Rangers dalam abad ke-19 oleh Kerajaan Brooke di Sarawak untuk menjaga keamaan di kawasan pedalaman di Sarawak. Pada tahun 1862, satu pasukan Renjer seramai 120 orang anggota ditubuhkan di Kuching di bawah pimpinan Mejar W.H. Rodway.

Anggota-anggota pasukan ini diambil di kalangan bumiputera Sarawak dan ditambah dengan anggota dari kaum India dan kaum Jawa. Pasukan ini mempunyai pusat latihan di Kuching. Jasa Sarawak Rangers kepada Kerajaan Brooke untuk menjaga ketenteraman Sarawak amat besar. Sarawak Rangers terlibat dalam tindakan perang menentang pemberontak seperti Rentap (1857-1861), Julau Dayak (1856), Kayan Besar (1863), Katibas (1868-1871) dan Ulu Ai (1875).

Pasukan Sarawak Rangers ini diserap masuk ke dalam Pasukan Polis Sarawak (Sarawak Constabulary) pada tahun 1932. Pasukan Sarawak Rangers ditubuhkan semula oleh pihak British sebagai persediaan menghadapi Perang Dunia II, dan selepas British tewas selepas serangan Jepun pada tahun 1942, anggota-anggota Sarawak Rangers telah ditahan oleh tentera Jepun.

Selepas 1948

Dalam tahun 1948, Persekutuan Tanah Melayu dilanda krisis pemberontakan bersenjata yang didalangi oleh Parti Komunis Malaya. Walaupun krisis tersebut dipanggil oleh pihak berkuasa British sebagai darurat, sebenarnya ia satu pemberontakan bersenjata yang melibatkan peperangan secara terbuka di antara pihak yang bertelagah.

Dalam tahun 1948, kekuatan Rejimen Askar Melayu hanya sebanyak 3 batalion Infantri. Pasukan Tentera India pula dipanggil pulang ke India selepas India mencapai kemerdekaan. Sebahagian besar tentera yang ditugaskan untuk mempertahankan Tanah Melayu merupakan rejimen-rejimen tentera British yang tidak biasa dengan peperangan di hutan tebal.

Sarawak Rangers telah turut serta membanteras kegiatan pengganas komunis di Malaysia. Askar Iban telah dibawa oleh pasukan Tentera British untuk menjejak pergerakan pengganas komunis di hutan belantara Tanah Melayu. Dalam tahun 1953, pasukan “Askar Iban” tersebut disusun semula di dalam sistem rejimen dengan menubuhkan semula Sarawak Rangers sebagai satu rejimen dalam Tentera British yang dianggotai oleh orang-orang tempatan.

Malaysian Rangers

Dalam tahun 1963, dengan penubuhan Malaysia, Kerajaan Kolonial British memutuskan supaya pasukan Sarawak Rangers ditukarkan pentadbiran dan diserahkan untuk menjadi satu rejimen di dalam Tentera Darat Malaysia. Pasukan tersebut ditukarkan nama menjadi Renjer Malaysia dan menjadi pasukan tempur infantri Tentera Darat Malaysia yang mempunyai keanggotaan pelbagai kaum. Renjer Malaysia sekali gus memenuhi keperluan untuk mewujudkan satu pasukan tempur yang dianggotai pelbagai kaum seperti yang dihasratkan semasa penubuhan Rejimen Persekutuan pada tahun 1952.

Penyerahan Batalion Pertama dan Batalion Kedua Renjer Malaysia kepada Kerajaan Malaysia telah dilakukan dalam satu upacara bersejarah di Kem Syed Putra, Ipoh pada 4 Oktober 1965. Tarikh ini dirayakan sebagai hari ulang tahun kelahiran Rejimen Renjer. Nama unit ini ditukar menjadi Rejimen Renjer dalam tahun 1971, dan setelah diberikan gelaran “DiRaja’ dalam tahun 1992, pasukan ini dikenali dengan nama Rejimen Renjer DiRaja.